Berdengkur Boleh Menyebabkan Kematian Tak??

Berdengkur Boleh Menyebabkan Kematian Tak??

“Krohh, krohhh, krohhhh….”
Bunyi inilah yang sering menemani waktu tidur Hani yang dihasilkan oleh suaminya yang tidur di sebelahnya. Bukanlah tidak pernah menegur mengenai bunyi dengkurannya yang kuat sehingga membuatkan Hani terjaga, tetapi Hani juga tidak mengetahui apa yang boleh dilakukan untuk membantu suaminya menghentikan dengkuran tersebut. Mahu atau tidak, terpaksalah menerimanya setiap malam.
Kami pasti, ramai di antara kita yang juga mempunyai masalah yang sama seperti suami Hani ini. Ada yang berdengkur secara jarang-jarang, tetapi juga ada yang berdengkur hampir setiap malam. Adakah anda tahu apakah yang menyebabkan dengkuran dan adakah dengkuran boleh menyebabkan kematian? Jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai hal ini, anda boleh teruskan pembacaan anda melalui penulisan di bawah ini.

Bagaimanakah dengkuran terhasil?


Image result for berdengkur
Imej from Google.

Berdengkur adalah sejenis bunyi serak atau keras yang berlaku ketika udara mengalir melalui tisu relaks di leher anda, lalu menyebabkan tisu tersebut bergetar ketika anda bernafas. Hampir semua individu mengalami masalah berdengkur ini, tetapi bagi sesetengah individu ia boleh menjadi satu masalah yang kronik. Kadangkala dengkuran juga boleh menunjukkan keadaan kesihatan yang serius. 

Dengkuran dan apnea tidur obstruktif (OSA)

Dengkuran seringkali dikaitkan dengan satu gangguan tidur yang disebut sebagai apnea tidur obstruktif atau OSA. Bukan semua individu yang berdengkur memiliki OSA, tetapi sekiranya dengkuran yang berlaku diikuti dengan simptom-simptom tersebut, anda mungkin perlu berjumpa dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan bagi menentukan sekiranya anda memiliki OSA atau tidak. Simptom-simptom tersebut adalah:
  • Pernafasan terhenti semasa tidur
  • Rasa mengantuk yang berlebihan di siang hari
  • Kesukaran untuk memberikan tumpuan
  • Sakit kepala pada waktu pagi
  • Sakit tekak ketika bangun daripada tidur
  • Tidur yang tidak selesa
  • Tercungap-cungap atau tersedak ketika tidur
  • Tekanan darah tinggi
  • Sakid dada pada waktu malam
  • Bunyi dengkuran yang amat kuat
  • Dalam kalangan kanak-kanak, berlaku masalah berkaitan kelakuan, perhatian yang kurang baik dan juga prestasi yang kurang memberangsangkan di sekolah
OSA sering dicirikan melalui dengkuran yang kuat dan diikuti dengan tempoh senyap apabila berhenti bernafas atau hampir berhenti. Individu yang mempunyai OSA biasanya mengalami pemberhentian seketika apabila bernafas secara perlahan atau berhenti bernafas sekurang-kurangnya sebanyak lima kali bagi setiap jam waktu tidur.

Adakah dengkuran boleh menyebabkan kematian?

Dengkuran secara umumnya tidak menyebabkan kematian. Walau bagaimanapun, jika ia melibatkan atau berkaitan dengan OSA, anda mungkin berisiko untuk mengalami kematian. Persatuan Apnea Tidur Amerika Syarikat menganggarkan sekitar 38,000 individu di Amerika Syarikat meninggal dunia setiap tahun akibat daripada penyakit jantung dengan apnea tidur sebagai faktor komplikasi. 
Individu yang mempunyai apnea tidur atau OSA memiliki kesukaran untuk bernafas atau berhenti bernafas dalam tempoh yang pendek setelah tidur. Walau bagaimanapun, ia sering tidak didiagnosis. Berpandukan Persatuan Jantung Amerika, 1 dalam setiap 5 individu dewasa mempunyai apnea tidur pada tahap yang tertentu dan ia lebih kerap berlaku dalam kalangan lelaki berbanding wanita. Kanak-kanak juga tidak terkecuali untuk mempunyai apnea tidur ini.
Untuk pengetahuan anda, apnea tidur boleh membawa kepada komplikasi yang lebih serius jika tidak dirawat. Ia boleh memburukkan beberapa keadaan kesihatan yang mengancam nyawa, seperti:
  • Tekanan darah tinggi
  • Strok
  • Kematian jantung secara tiba-tiba
  • Asma
  • COPD
  • Diabetes mellitus

Bahaya apnea tidur tanpa mendapatkan rawatan

Apnea tidur menyebabkan hypoxia, iaitu tahap oksigen yang rendah dalam tubuh. Apabila keadaan hypoxia ini berlaku, tubuh anda akan menjadi stres dan memberi reaksi dengan respon tindak balas tekanan akut. Ini kemudiannya menjadikan jantung anda berdegup dengan lebih laju dan menyempitkan arteri anda. Antara kesannya termasuklah:
  • Tekanan darah yang lebih tinggi
  • Kadar degupan jantung yang lebih tinggi
  • Jumlah aliran darah yang meningkat
  • Lebih banyak berlakunya keradangan dan stres
Kesan-kesan yang berlaku ini akan meningkatkan risiko masalah-masalah kardiovaskular. Kajian yang diterbitkan dalam American Journal of Respiratory and Critical Care Medicine pada tahun 2010 menemui, seseorang individu yang mempunyai apnea tidur berpotensi mempunyai peningkatan risiko untuk mengalami strok sehingga dua atau tiga kali ganda. 
Kajian yang dilakukan pada tahun 2007 oleh Yale School of Medicine pula menyatakan bahawa, apnea tidur boleh meningkatkan risiko untuk mendapat serangan jantung atau kematian sehingga 30 peratus dalam tempoh empat atau lima tahun. Manakala kajian yang dijalankan pada tahun 2013 yang diterbitkan dalam Journal of the American College of Cardiology menyatakan, individu yang mempunyai apnea tidur mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami kematian akibat komplikasi berkaitan jantung. Kajian tersebut juga mendapati bahawa apnea tidur juga boleh meningkatkan risiko kematian jantung secara tiba-tiba. Anda akan lebih berisiko jika mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
  • Berumur lebih daripada 60 tahun
  • Mempunyai 20 atau lebih episod apnea dalam setiap jam tidur anda
  • Mempunyai tahap oksigen darah yang kurang daripada 78% semasa anda tidur

Adakah terdapat cara untuk saya mengurangkan bunyi dengkuran?

Untuk mengurangkan atau merawat dengkuran anda, doktor mungkin akan menyarankan perubahan gaya hidup terlebih dahulu seperti menurunkan berat badan, mengelakkan pengambilan alkohol ketika waktu tidur, merawat hidung yang tersumbat, mengelakkan kekurangan tidur dan elakkan daripada tidur menelentang.
Jika dengkuran yang berlaku bersama-sama dengan OSA, doktor mungkin akan mencadangkan perkara-perkara berikut:
  • Peralatan mulut (oral appliance)
Peralatan mulut adalah sejenis alat yang diletakkan pada mulut yang membantu memperbaiki posisi rahang, lidah dan selaput lembut untuk memastikan laluan udara terbuka
  • Tekanan laluan udara positif berterusan (CPAP)
Kaedah ini melibatkan pemakaian topeng pada hidung atau mulut semasa anda tidur. Topeng ini mengarahkan udara bertekanan dari pam kecil di tepi katil ke saluran udara anda untuk memastikan ia dibuka semasa anda tidur
  • Pembedahan saluran udara atas
Terdapat beberapa prosedur yang bertujuan untuk membuka saluran udara atas dan mencegah penyempitan yang ketara semasa tidur melalui pelbagai teknik

Kesimpulan

Jelas sekali bahawa dengkuran semasa tidur bukanlah satu perkara yang perlu dirisaukan melainkan jika anda mempunyai OSA. Bagaimana untuk mengetahui jika anda memiliki OSA atau tidak? Jika anda mendapati diri anda mengalami simptom-simptom seperti yang dinyatakan di atas, segeralah berjumpa dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan, mendapatkan kepastian mengenai keadaan semasa anda dan seterusnya mendapat rawatan yang berkaitan. Sekurang-kurangnya, pasangan anda tidak lagi terganggu semasa tidur setelah dengkuran anda dirawat.


Info dipetik daripada : Hello doctor

Post a Comment

4 Comments

  1. Kite sejak umur makin bertambah makin kuat lak berdengkur. Huhu

    ReplyDelete
  2. ayah dan suami dedua berdengkur. paling tak syok, depa boleh ja tidoq lena. kami yg lain takleh. hahahaa

    ReplyDelete

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging .